Assalamuaaikum
warahmatullah. Pada entri kali ini iaitu entri keempat saya akan menulis
sedikit sebanyak tentang diri saya. Nama diberi oleh ibubapa ialah Ismail bin
Othman. Secara umumnya memang keluarga saya terutamanya lelaki nama macam nama
nabi seperti abang-abang saya iaitu Ibrahim, Yusoff, dan Zulkifli. Saya berasal
dari negeri cantik budayanya menarik iaitu Terengganu darul Iman di sebelah
utara iaitu daerah Besut. Saya tinggal di Kampung Kerandang dan menurut
orang-orang lama kat kampung saya nama kerandang itu adalah sempena nama ikan
kerandang yang terdapat di sini suatu ketika dahulu. Namun kini ikan itu telah
pupus dan ikan tersebut merupakan ikan dari jenis air tawar. Semenjak kecil
saya tidak pernah berpindah rumah jadi saya telah tinggal di kampong kerandang
sejak tahun 1992 lagi. Ayah saya bekerja sebagai petani dan peniaga runcit jadi
sejak kecil lagi saya memang terdedah dengan aktiviti perniagaan dan pendek
kata kami adik beradik ini membesar di dalam kedai. Oleh sebab itu kami agak
mahir dalam subjek matematik berbanding dengan subjek lain kerana seringkali
terdedah dengan angka. Ibu saya pula merupakan seorang jurutera domestik atau
suri rumah dan dalam masa yang sama membantu ayah saya berniaga. Saya mula
bersekolah pada usia 6 tahun, pada mulanya ayah saya menghantar saya taman
didikan kanak-kanak (TADIKA) tapi malangnya hanya sehari sahaja saya belajar di
situ kerana saya tidak boleh menyesuaikan diri dengan suasananya. Oleh itu pada
keesokannya saya memaklumkan kepada orang tua saya yang saya mahu belajar di
pusat asuhan tunas islam (PASTI) kerana lokasinya agak berdekatan dengan rumah
saya selain ramai kawan-kawan sepermainan juga turut bersekolah di situ. Maka
belajarlah saya di situ selama setahun sehingga berusia 7 tahun.
Dunia
persekolahan saya yang sebenar bermula pada Januari 1999, saya bersekolah di
Sekolah Kebangsaan Bukit Tempurung iaitu salah satunya sekolah rendah yang
terdapat di kampong saya. Lokasinya dari rumah saya hanyalah kira-kira empat
kilometer. Di sini pelajarnya tidaklah begitu ramai, hanya dua kelas dibuka
untuk setiap darjah iaitu kelas Biru dan Kuning pada waktu. Seusai sessi
pendaftaran saya ditempatkan di kelas 1 Kuning. Kelas ini bersebelahan dengan
padang sekolah dan terletak di bahagian belakang bangunan-bangunan lain. Semua
bangunan di sekolah tinggi hanya satu tingkat sahaja dan terdapat empat blok
kelas dan pejabat, selain kantin, surau, dan stor sukan. Saya telah dilantik
menjadi ketua kelas semasa darjah satu dan saya juga sering mendapat tempat
pertama dalam peperiksaan dalam kelas dan menerima anugerah kecemerlangan di
akhir tahun. Selama enam tahun bersekolah di sini bermacam-macam perisitwa dan
pengalaman saya perolehi. Itu semua merupakan pengalaman zaman kanak-kanak yang
sungguh indah apabila direnung kembali. Ketika darjah tiga hingga darjah lima
kami dikehendaki mengambil kelas fardhu ain petang di sekolah. Alhamdulillah di
situ saya diajar oleh para ustaz dan ustazah tentang perkara-perkara fardu ain seperti
tajwid, tauhid, akhlak dan sebagainya. Pada hujung darjah lima pula kami akan
diuji dengan ujian KAFA untuk mengenal pasti sejauh mana kefahaman kami tentang
fardhu ain dan saya mendapat keputusan yang agak cemerlang untuk ujian ini.
Untuk ujian penilaian sekolah rendah (UPSR) saya telah mendapat keputusan 3A 2B
iaitu A dalam subjek Bahasa Melayu pemahaman dan penulisan serta matematik dan
B dalam subjek Sains dan Bahasa Inggeris. Semasa ujian UPSR saya masih lagi
dalam mod sedih kerana telah kehilangan insan tersayang iaitu arwah ayah saya
pada 23 Julai 2004 akibat penyakit asma (semoga rohnya dicucuri rahmat dan
ditempatkan bersama roh para anbiya).
Setelah
mendapat tahu keputusan UPSR maka bermulalah zaman persekolahan menengah saya.
Saya telah memohon beberapa buah sekolah untuk belajar baik sekolah berasrama
penuh mahupun bukan dan dengan keputusan 3A 2B saya telah diterima masuk ke
Asrama Anak Yatim Darul Iman yang terletak di Kampung Pulau Kerengga, Marang.
Sebenarnya saya hanya menginap di asrama itu tapi saya belajar di Sekolah
Menengah Agama Marang yang terletak kira-kira 15 kilometer pula dari asrama
anak yatim itu. Di asrama ini pelbagai bantuan dan kemudahan disediakan dengan
peruntukan oleh kerajaan negeri Terengganu berjumlah kira-kira 2 juta setahun
termasuk duit poket kami. Kami ke sekolah dengan bas yang disediakan oleh pihak
asrama setiap pagi dan walaupun jaraknya boleh dikatakan agak jauh antara
asrama dan sekolah tapi kami biasanya akan tiba di sekolah sebelum jam 7
setengah pagi. Sebanarnya sekolah saya ini hanya salah satu daripada sekolah
yang pihak asrama anak yatim menghantar pelajar-pelajar di sini bersekolah.
Terdapat 4 buah sekolah lagi di sekitar Marang yang turut mempunyai pelajar
dari asrama anak yatim ini seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Merchang dan
Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Lela Segara. Tinggal di asrama ini ibarat
seperti tinggal di asrama penuh jugalah kerana kami diberi kebenaran balik
sekitar sebulan sekali dan jika mahu balik di luar jadual yang diberikan
permohonan mesti dibuat dan mesti mendapat kelulusan daripada pengetua. Jarak
antara rumah saya di Besut dan tempat belajar di Marang agak jauh iaitu sekitar
130 kilometer dan untuk pulang ke rumah saya mesti transit di hentian bas Kuala
Terengganu terlebih dahulu dan masa yang diambil untuk sampai ialah ke kampung
halaman ialah sekitar 3 jam. Suatu tempoh yang amat lama dan mesti tertidur di
dalam bas setiap kali pulang ke kampong halaman.
Selama
tiga tahun iaitu dari tingkatan 1 sehingga 3 saya bersekolah dan berulang alik
dari Marang ke kampung halaman. Saya mendapat keputusan penilaian menengah
rendah (PMR) yang agak baik. Akhirnya pada awal tahun tingkatan empat saya
mengambil keputusan untuk berpindah sekolah dan tidak lagi menetap di asrama
anak yatim tersebut. Saya telah berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Seri
Nering Besut pada penghujung januari dan saya juga mengambil keputusan untuk
tidak lagi tinggal di asrama walaupun sekolah baru ini juga terdapat kemudahan
asrama. Saya memilih untuk tinggal di rumah sahaja sambil menolong emak
menguruskan perniagaan warisan kami iaitu kedai runcit yang masih beroperasi
ketika itu. Belajar sambil belajar berniaga, itulah yang saya lakukan ketika di
tingkatan empat dan lima dan sangat beruntung kerana mendapat pendedahan
tentang dunia perniagaan menyebabkan saya menyimpan impian untuk melanjutkan
pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang perniagaan. Semasa di menengah atas
saya telah mengambil aliran sains tulen dan belajar banyak benda yang
melibatkan sains. Tambahan pula di sekolah ini segala kemudahan makmal dan
bahan untuk uji kaji boleh dikatakan lengkap dan sempurna, namun ia tidak
menjamin seseorang pelajar itu dapat skor A dalam subjek tersebut (he he). Jadi
setiap kali waktu matapelajaran kimia, biologi dan fizik kami akan bergerak ke
makmal masing-masing di bangunan bersebelahan. Selama dua tahun belajar di
sekolah ini saya berasa seronok kerana di samping dapat pulang dan belajar di
kampung halaman saya juga dapat berkenalan dengan kawan-kawan yang baru pula.
Pada penghujung tingkatan empat iaitu pada bulan November, oleh kerana usia pun
sudah mencecah 16 tahun saya telah mendapatkan lesen motosikal dan setahun
kemudian iaitu pada penghujung 2009 saya mendapatkan lesen motokar pula.
Keputusan peperiksaan sijil pelajaran Malaysia saya adalah agak sederhana iaitu
4A dan saya gagal mendapat tempat ke university pada masa itu menyebabkan saya
telah mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan 6 kerana
kata orang tingkatan 6 ini merupakan jalan pintas untuk sambung ijazah di
university selain dikatakan apabila kita melanjutkan pengajian peringkat
tingkatan 6 seolah-olah sebelah daripada kaki kita sudah berada di university.
Ini merupakan semangat dan moral saya untuk saya melanjutkan pengajian ke
peringkat STPM walaupun pada penghujung 2010 saya ditawarkan untuk melanjutkan
pengajian peringkat diploma di politeknik permatang pauh dalam jurusan yang
saya minati iaitu pengurusan perniagaan. Saya nekad untuk meneruskan pengajian
tingkatan 6 ini sehingga habis.
Sebenarnya
masih panjang lagi untuk saya nukilkan di sini pasal diri saya. Jadi untuk
pertama kalinya ini saya kira cukup sekadar ini dahulu dan saya berjanji
InsyaAllah jika diberi kesempatan saya akan menyambung lagi tulisan saya ini.
Bersambung.......