Monday, November 24, 2014

Entri 4- Autobiografi (aku adalah aku)

Assalamuaaikum warahmatullah. Pada entri kali ini iaitu entri keempat saya akan menulis sedikit sebanyak tentang diri saya. Nama diberi oleh ibubapa ialah Ismail bin Othman. Secara umumnya memang keluarga saya terutamanya lelaki nama macam nama nabi seperti abang-abang saya iaitu Ibrahim, Yusoff, dan Zulkifli. Saya berasal dari negeri cantik budayanya menarik iaitu Terengganu darul Iman di sebelah utara iaitu daerah Besut. Saya tinggal di Kampung Kerandang dan menurut orang-orang lama kat kampung saya nama kerandang itu adalah sempena nama ikan kerandang yang terdapat di sini suatu ketika dahulu. Namun kini ikan itu telah pupus dan ikan tersebut merupakan ikan dari jenis air tawar. Semenjak kecil saya tidak pernah berpindah rumah jadi saya telah tinggal di kampong kerandang sejak tahun 1992 lagi. Ayah saya bekerja sebagai petani dan peniaga runcit jadi sejak kecil lagi saya memang terdedah dengan aktiviti perniagaan dan pendek kata kami adik beradik ini membesar di dalam kedai. Oleh sebab itu kami agak mahir dalam subjek matematik berbanding dengan subjek lain kerana seringkali terdedah dengan angka. Ibu saya pula merupakan seorang jurutera domestik atau suri rumah dan dalam masa yang sama membantu ayah saya berniaga. Saya mula bersekolah pada usia 6 tahun, pada mulanya ayah saya menghantar saya taman didikan kanak-kanak (TADIKA) tapi malangnya hanya sehari sahaja saya belajar di situ kerana saya tidak boleh menyesuaikan diri dengan suasananya. Oleh itu pada keesokannya saya memaklumkan kepada orang tua saya yang saya mahu belajar di pusat asuhan tunas islam (PASTI) kerana lokasinya agak berdekatan dengan rumah saya selain ramai kawan-kawan sepermainan juga turut bersekolah di situ. Maka belajarlah saya di situ selama setahun sehingga berusia 7 tahun.
Dunia persekolahan saya yang sebenar bermula pada Januari 1999, saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bukit Tempurung iaitu salah satunya sekolah rendah yang terdapat di kampong saya. Lokasinya dari rumah saya hanyalah kira-kira empat kilometer. Di sini pelajarnya tidaklah begitu ramai, hanya dua kelas dibuka untuk setiap darjah iaitu kelas Biru dan Kuning pada waktu. Seusai sessi pendaftaran saya ditempatkan di kelas 1 Kuning. Kelas ini bersebelahan dengan padang sekolah dan terletak di bahagian belakang bangunan-bangunan lain. Semua bangunan di sekolah tinggi hanya satu tingkat sahaja dan terdapat empat blok kelas dan pejabat, selain kantin, surau, dan stor sukan. Saya telah dilantik menjadi ketua kelas semasa darjah satu dan saya juga sering mendapat tempat pertama dalam peperiksaan dalam kelas dan menerima anugerah kecemerlangan di akhir tahun. Selama enam tahun bersekolah di sini bermacam-macam perisitwa dan pengalaman saya perolehi. Itu semua merupakan pengalaman zaman kanak-kanak yang sungguh indah apabila direnung kembali. Ketika darjah tiga hingga darjah lima kami dikehendaki mengambil kelas fardhu ain petang di sekolah. Alhamdulillah di situ saya diajar oleh para ustaz dan ustazah tentang perkara-perkara fardu ain seperti tajwid, tauhid, akhlak dan sebagainya. Pada hujung darjah lima pula kami akan diuji dengan ujian KAFA untuk mengenal pasti sejauh mana kefahaman kami tentang fardhu ain dan saya mendapat keputusan yang agak cemerlang untuk ujian ini. Untuk ujian penilaian sekolah rendah (UPSR) saya telah mendapat keputusan 3A 2B iaitu A dalam subjek Bahasa Melayu pemahaman dan penulisan serta matematik dan B dalam subjek Sains dan Bahasa Inggeris. Semasa ujian UPSR saya masih lagi dalam mod sedih kerana telah kehilangan insan tersayang iaitu arwah ayah saya pada 23 Julai 2004 akibat penyakit asma (semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama roh para anbiya).
Setelah mendapat tahu keputusan UPSR maka bermulalah zaman persekolahan menengah saya. Saya telah memohon beberapa buah sekolah untuk belajar baik sekolah berasrama penuh mahupun bukan dan dengan keputusan 3A 2B saya telah diterima masuk ke Asrama Anak Yatim Darul Iman yang terletak di Kampung Pulau Kerengga, Marang. Sebenarnya saya hanya menginap di asrama itu tapi saya belajar di Sekolah Menengah Agama Marang yang terletak kira-kira 15 kilometer pula dari asrama anak yatim itu. Di asrama ini pelbagai bantuan dan kemudahan disediakan dengan peruntukan oleh kerajaan negeri Terengganu berjumlah kira-kira 2 juta setahun termasuk duit poket kami. Kami ke sekolah dengan bas yang disediakan oleh pihak asrama setiap pagi dan walaupun jaraknya boleh dikatakan agak jauh antara asrama dan sekolah tapi kami biasanya akan tiba di sekolah sebelum jam 7 setengah pagi. Sebanarnya sekolah saya ini hanya salah satu daripada sekolah yang pihak asrama anak yatim menghantar pelajar-pelajar di sini bersekolah. Terdapat 4 buah sekolah lagi di sekitar Marang yang turut mempunyai pelajar dari asrama anak yatim ini seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Merchang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Lela Segara. Tinggal di asrama ini ibarat seperti tinggal di asrama penuh jugalah kerana kami diberi kebenaran balik sekitar sebulan sekali dan jika mahu balik di luar jadual yang diberikan permohonan mesti dibuat dan mesti mendapat kelulusan daripada pengetua. Jarak antara rumah saya di Besut dan tempat belajar di Marang agak jauh iaitu sekitar 130 kilometer dan untuk pulang ke rumah saya mesti transit di hentian bas Kuala Terengganu terlebih dahulu dan masa yang diambil untuk sampai ialah ke kampung halaman ialah sekitar 3 jam. Suatu tempoh yang amat lama dan mesti tertidur di dalam bas setiap kali pulang ke kampong halaman.
Selama tiga tahun iaitu dari tingkatan 1 sehingga 3 saya bersekolah dan berulang alik dari Marang ke kampung halaman. Saya mendapat keputusan penilaian menengah rendah (PMR) yang agak baik. Akhirnya pada awal tahun tingkatan empat saya mengambil keputusan untuk berpindah sekolah dan tidak lagi menetap di asrama anak yatim tersebut. Saya telah berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Nering Besut pada penghujung januari dan saya juga mengambil keputusan untuk tidak lagi tinggal di asrama walaupun sekolah baru ini juga terdapat kemudahan asrama. Saya memilih untuk tinggal di rumah sahaja sambil menolong emak menguruskan perniagaan warisan kami iaitu kedai runcit yang masih beroperasi ketika itu. Belajar sambil belajar berniaga, itulah yang saya lakukan ketika di tingkatan empat dan lima dan sangat beruntung kerana mendapat pendedahan tentang dunia perniagaan menyebabkan saya menyimpan impian untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang perniagaan. Semasa di menengah atas saya telah mengambil aliran sains tulen dan belajar banyak benda yang melibatkan sains. Tambahan pula di sekolah ini segala kemudahan makmal dan bahan untuk uji kaji boleh dikatakan lengkap dan sempurna, namun ia tidak menjamin seseorang pelajar itu dapat skor A dalam subjek tersebut (he he). Jadi setiap kali waktu matapelajaran kimia, biologi dan fizik kami akan bergerak ke makmal masing-masing di bangunan bersebelahan. Selama dua tahun belajar di sekolah ini saya berasa seronok kerana di samping dapat pulang dan belajar di kampung halaman saya juga dapat berkenalan dengan kawan-kawan yang baru pula. Pada penghujung tingkatan empat iaitu pada bulan November, oleh kerana usia pun sudah mencecah 16 tahun saya telah mendapatkan lesen motosikal dan setahun kemudian iaitu pada penghujung 2009 saya mendapatkan lesen motokar pula. Keputusan peperiksaan sijil pelajaran Malaysia saya adalah agak sederhana iaitu 4A dan saya gagal mendapat tempat ke university pada masa itu menyebabkan saya telah mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan 6 kerana kata orang tingkatan 6 ini merupakan jalan pintas untuk sambung ijazah di university selain dikatakan apabila kita melanjutkan pengajian peringkat tingkatan 6 seolah-olah sebelah daripada kaki kita sudah berada di university. Ini merupakan semangat dan moral saya untuk saya melanjutkan pengajian ke peringkat STPM walaupun pada penghujung 2010 saya ditawarkan untuk melanjutkan pengajian peringkat diploma di politeknik permatang pauh dalam jurusan yang saya minati iaitu pengurusan perniagaan. Saya nekad untuk meneruskan pengajian tingkatan 6 ini sehingga habis.

Sebenarnya masih panjang lagi untuk saya nukilkan di sini pasal diri saya. Jadi untuk pertama kalinya ini saya kira cukup sekadar ini dahulu dan saya berjanji InsyaAllah jika diberi kesempatan saya akan menyambung lagi tulisan saya ini. Bersambung.......

No comments:

Post a Comment